29 April 2009, KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, meninggal dunia pada 3.45 petang ini akibat kanser di kediaman mereka, Demak Jaya di sini.
Laila, 68, meninggalkan suami, empat orang anak, termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, dan 15 cucu.
Mengesahkan berita itu, Setiausaha Akhbar Taib, Amin Sahmat, berkata upacara pengkebumian akan diadakan di perkuburan Islam Demak di sini pagi esok.
Antara kenamaan yang berkunjung awal memberi penghormatan terakhir di Demak Jaya petang ini ialah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak, dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Laila, kelahiran Poland, dan Taib berkahwin di Adelaide, Australia pada 13 Januari 1959 ketika Taib sedang mengikuti pengajian untuk ijazah undang-undang.
Laila tiba di Sarawak pada 1962. Nama remajanya ialah Lejla Chaleck.
Beliau adalah juga Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (Pengerusi Jawatankuasa Wanita). Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib adalah satu daripada beberapa bukti tentang minatnya untuk membantu pesakit yang memerlukan dan menentukan aktiviti penyelidikan dapat dijalankan demi faedah rakyat. - Bernama
------------------------------------------------------------
Arwah sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak, Kuching jam 12 tengahari tadi. Al-Fatihah.
0 comments:
Post a Comment